Sumayyah dan Nusaibah
Bismillah wal Hamdulillah.
Tersebut al-Kisah..
Sumayyah dan Nusaibah adalah dua orang sahabat karib dan mereka tinggal berjiran. Kedua-dua mereka merupakan mahasiswa di sebuah universiti tempatan. Mereka berdua juga seperti pelajar-pelajar yang lain, ingin mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid universiti setiap kali masuk waktu solat untuk solat dan berdoa.
"Apa doamu hari ini?" tanya Sumayyah kepada sahabatnya.
"Aku pinta semoga esok hari aku dipermudahkan oleh Allah untuk menjawab soalan-soalan kuiz Statistics esok," jawab Nusaibah.
"Doa kau?" Nusaibah pula bertanya.
Sumayyah cuma senyum tanpa berkata apa-apa.
Keesokan hari, Nusaibah memberitahu Sumayyah berita gembira.
"Alhamdulillah, doa aku semalam dimakbulkan Allah. Aku dapat menjawab soalan kuiz dengan mudah hari ini."
"Alhamdulillah. Hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Sumayyah.
"Aku berdoa moga esok aku akan tenang untuk berhadapan dengan temuduga JPA isnin depan," jawab Nusaibah.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid, mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.
Sejurus usai berdoa, Nusaibah bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?"
Sumayyah senyum. Masih tiada jawapan.
Beberapa hari kemudian Nusaibah memberitahu berita gembira.
"Syukur aku dapat menjawab soalan temuduga dan berhadapan dengan penemuduga tadi dengan tenang. Nampaknya doaku makbul, Su."
"Tahniah, Ai."
"Aku berdoa juga agar adikku selamat," kata Sumayyah dengan wajah muram.
"Kenapa dengan adik kau?"
"Adikku yang bongsu sakit, Ai. Keadaannya sangat membimbangkan."
"InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta adikmu selamat," kata Nusaibah.
Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
"Bagaimana dengan adik kau?" tanya Nusaibah.
"Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaanya cuma bertambah baik sikit sahaja."
"Doa banyak lagi Su.. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau......" kata Nusaibah.
"Kenapa dengan aku?"
"Su, aku lihat doamu tidak mustajab."
Sumayyah tersenyum.
Melihat Sumayyah tersenyum, Nusaibah semakin hairan lalu bertanya lagi,
"Aku hairan, doa kau tidak makbul tapi kau masih boleh senyum?"
"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur alhamdulillah."
"Doa yang mana? Sebab aku lihat tidak ada apa-apa perubahan pada kau."
"Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNya."